Selasa, 11 Disember 2012

AKHLAK MERCU KESEMPURNAAN


Anak-anak permata hatiku,

Akhlak adalah mercu kesempurnaan iman yang akan menyelamatkan manusia daripada api neraka.Rasullulah  s.a.w bersabda yang bermaksud : " orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."( Riwayat al-Kharaiti )

Akhlak umpama buah pada pohon iman. akar tunjang pada pohon itu adalah persoalan iman, batangnya adalah rukun islam, dahannya persolan fardu kifayah , rantingnya umpama amalan-amalan sunat manakala akhlak adalah buahnya.


Keunggulan akhlak baginda Rasullulah s.a.w seharusnya menjadi panduan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: " Sesungguhnya kamu mempunyai akhlak yang tinggi." Dengan ketinggian akhlak itulah Rasullulah menyeru kepada Islam. Lidahnya menuturkan ajaran al-Quran secara lisan, peribadinya diterjemahkan dalam tindakan. Inilah rahsia kejayaan Rasullulah s.a.w dalam dakwahnya.

Lihat bertapa mulianya akhlak baginda  Rasullulah s.a.w telah mengislamkan seorang wanita Yahudi yang kerap menabur kotoran dan duri diatas jalan yang dilalui oleh baginda  Rasullulah s.a.w.Wanita itu akhirnya memeluk Islam apabila baginda menziarahinya ketika dia sakit. Pada ketika yang lain, baginda hanya tersenyum apabila seorang arab Badwi menarik kain serban dilehernya sehingga berbekas.

 Bayangkan betapa baginda sanggup berhenti dan bertanya kepada seorang budak lelaki yang menangis ditepi jalan pada suatu pagi hari raya.Baginda bertanya: " Mengapa engkau menangis?" Anak itu menjawab: "Ayah saya telah syahid sementara ibu saya telah berkahwin lain. Saya tiada baju baru dan tiada apa pun persediaan untuk berhari raya."

Baginda  Rasullulah s.a.w mengalirkan air mata. Baginda berkata: " sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah ( isteri Rasullulah ) menjadi ibumu?" Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu bila mendengar baginda  Rasullulah s.a.w yang mulia menjadi ayahnya.Bagainda pun membawa pulang anak itu kerumahnya, dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan.Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu begitulah gembiranya hati baginda  Rasullulah s.a.w kerana dapat mengembirakannnya.

Setelah pembebasan Mekah ( Fathu Mekah ) dihadapan mereka yang selama ini gigih memusuhi malah pernah berkonspirasi untuk membunuh baginda. Rasullulah s.a.w hanya berkata: " Pergilah kamu semua, sekarang kamu telah bebas." Begitu suci jiwa nabi mampu memaafkan ketika berkuasa membalas.

Kesimpulanya akhlak terpuji mampu menawan hati.Akhlak terpuji juga mampu membahagiakan orang lain dan akhlak terpuji juga mampu meghapuskan sifat dendam.

ANALOGI SEBATANG POKOK



Anak-anakku,

Belajarlah daripada kesabaran dan ketabahan sebatng pokok.Pohon yang besar mampu menahan ribut dan taufan kerana ia mempunyai batang yang besar dan kuat.

Bermula daripada benih yang kecil, ia tumbuh menjadi pohon yang besar dan semakin kuat akarnya.Sebelum menjadi sebatng pokok yang besar dan kuat, ia belajar menahan terik matahari, kuatnya angin, dinginnya hujan dan gangguan daripada manusia dan haiwan.

Setelah melalui semua itulah, daripada sebiji benih yang kecil,bercambah menjadi tunas, membesar dan akhirnya bertukar menjadi pohon yang besar dan kuat.

Justeru, marilah anak-anak kita menjadi manusia yang tidak kalah dengan keadaan dan suasana.Seperti ikan dilautan masin, meskipun sekitarnya masin namun dagingnya tetap tawar.

Sabtu, 8 Disember 2012



SEMUA ORANG MAMPU UNTUK MENIKMATI KEJAYAAN

Kejayaan bagi seorang pelajar adalah apabila dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan memiliki akhlak yang baik. Kejayaan itu akan jadi lebih bermakna bila dapat dikongsikan dengan orang tersayang, keluarga dan masyarakat.Untuk menjadi pelajar yang berjaya kita perlu berusaha mendidik diri dan melaksanakan tips-tips berikut :
 • Tidak merasa rendah diri .
Sebagai seorang pelajar, kita tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan apa yang kita ada termasuk kebolehan diri. Ini kerana Allah telah menentukan setiap manusia itu mempunyai kelebihan yang tersendiri.

 • Percaya dan yakin dengan kebolehan diri
Bagi mencapai sesuatu kejayaan, pelajar sepatutnya melakukan sesuatu perkara dengan terbaik dan percaya dengan kebolehan yang ada pada diri sendiri.

 • Sentiasa bersikap positif
Setiap individu dikurniakan dengan kelebihan masing-masing.Justeru, kita perlu berfikiran positif dan berbaik sangka dengan kurniaan Allah.

 • Mempunyai minat dan keinginan yang mendalam
Dengan minat dan keinginan yang mendalam, sebenarnya dapat membantu pelajar untuk berjaya. Kuasa minat dan keinginan akan dapat membantu pelajar segala halangan dan cabaran yang ada dalam proses mendapatkan kejayaan.

. • Berusaha dengan gigih
Pelajar perlu berusaha dengn gigih tanpa rasa putus asa. Sikap ini akan membantu pelajar untuk merealisasikan apa yang ingin dicapai menjadi kenyataan walaupun perlu mengambil masa yang lebih daripada rakan-rakan yang lain.

 • Jangan berputus asa
Ingat pelajar semua. Buat dan buat lagi tanpa rasa jemu kerana setiap usaha pasti ada ganjaranya walaupun sukar.

 • Tonjolkan bakat dan kebolehan diri.
Lakukan sesuatu yang dapat menonjolkan bakat dan kebolehan diri, misalnya berpidato, melukis, bersukan dan sebagainya.Keberanian menonjolkan bakat dan kebolehan diri akan dapat membantu pelajar semua dibimbing untuk memperbaiki dan meningkatkan bakat dan potensi diri oleh guru-guru.

Setiap orang ada peluang untuk hidup berjaya. Justeru, gunakan segala peluang yang ada untuk menikmati hasil kejayaan yang diusahakan oleh diri kita sendiri.Kejayaan tersebut akan lebih manis jika kita hiasi diri kita dengan ciri-ciri seorang muslim dan muslimah yang yang terpuji.

Rabu, 5 Disember 2012


SOLAT KHAUF (SOLAT KETIKA DI MEDAN PERANG)


SOLAT merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda.

Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu.

Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan ‘hadiah’ daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan. Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.
Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

 Marilah kita sama-sama mempelajarai cara solat ini walaupun negara kita dalam keadaan aman damai.Mungkin beginilah keadaan saudara-saudara kita ketika mereka berada dimedan peperangan.Setuasi begini seharusnya menginsafkan kita bahawa keamanan itu adalah satu nikmat yang seharusnya dihargai dan dipertahankan.Apa yang lebih penting,kita perlu mengambil iktibar dalam suasana peperangan, ibadat solat tetap menjadi keutamaan. Kita sepatutnya malu dengan kealpaan diri kita yang sewenang-wenangnya meninggalkan ibadat solat walaupun berada dalam keadaan yang aman damai.


Mari kita tonton dan mempelajari cara solat di medan perang berdasarkan simulasi yang dilakukan oleh seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan mengadakan demonstrasi solat khauf bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Badan Dakwah dan Rohani (Badar) .